19 March 2008

Kabinet Baru Lebih Dinamik

PUTRAJAYA 18 Mac – Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi hari ini membentuk Kabinet dinamik selepas Pilihan Raya Umum Ke-12 dengan melantik 16 menteri baru dan menggugurkan lapan menteri penggal lalu.

Dalam pengumuman yang menyaksikan jumlah anggota pentadbiran kerajaan termasuk menteri dan timbalan menteri dikurangkan kepada 68 berbanding 90 orang sebelum ini berikutan pemansuhan jawatan setiausaha Parlimen, Perdana Menteri berkata, Kabinet baru itu mampu mewakili rakyat dengan efektif serta membawa pembaharuan kepada pentadbiran negara.

Beliau menegaskan, barisan Kabinet baru itu mencerminkan semangat perkongsian kuasa dan muafakat Barisan Nasional (BN).

“Saya telah mengambil keputusan untuk tidak melantik setiausaha Parlimen dan ini bermakna para menteri dan timbalan menteri perlu lebih aktif dalam Parlimen.

“Senarai Kabinet baru ini telah dimaklumkan kepada Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin pagi ini dan Seri Paduka telah berkenan dan merestui nama-nama yang dikemukakan itu.

“Senarai ini juga telah mendapat pelepasan Badan Pencegah Rasuah (BPR) dan polis,” katanya pada sidang akhbar mengumumkan barisan Kabinet baru di Pejabat Perdana Menteri di sini.

Dalam pengumuman barisan Kabinet itu, Abdullah mengekalkan portfolio sebagai Menteri Kewangan manakala timbalannya, Datuk Seri Najib Tun Razak kekal sebagai Menteri Pertahanan.

Enam menteri yang digugurkan ialah Ketua Pergerakan Wanita UMNO, Datuk Seri Rafidah Aziz yang dulunya Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Datuk Seri Dr. Jamaludin Jarjis (Sains, Teknologi dan Inovasi), Datuk Seri Tengku Adnan Mansor (Pelancongan), Datuk Dr. Abdullah Md. Zin (Jabatan Perdana Menteri), Datuk Seri Azmi Khalid (Sumber Asli dan Alam Sekitar) dan Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Radzi Sheikh Ahmad (Hal Ehwal Dalam Negeri).

Presiden MCA, Datuk Seri Ong Ka Ting tidak disenaraikan setelah beliau meminta supaya tidak dipilih semula sebagai menteri bagi membolehkannya memberi tumpuan kepada usaha mengukuhkan kembali MCA yang kalah teruk dalam pilihan raya umum 8 Mac lalu.

Bekas Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Dr. Fong Chan Onn juga tidak dilantik semula kerana perlembagaan MCA menetapkan wakil MCA hanya boleh berkhidmat dalam Kabinet selama dua penggal.

Abdullah mengumumkan 16 menteri baru yang dilantik iaitu Datuk Ahmad Shabery Cheek (Penerangan), Datuk Shaziman Abu Mansor (Tenaga, Air dan Komunikasi), Datuk Liow Tiong Lai (Kesihatan), Datuk Dr. S. Subramaniam (Sumber Manusia), Datuk Douglas Uggah Embas (Sumber Asli dan Alam Sekitar) dan Datuk Ong Tee Keat (Pengangkutan).

Turut dilantik ialah Datuk Dr. Ng Yen Yen (Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat), Datuk Noh Omar (Pembangunan Usahawan dan Koperasi), Datuk Ir. Mohamad Zin Mohamed (Kerja Raya) dan Datuk Ong Ka Chuan (Perumahan dan Kerajaan Tempatan).

Buat pertama kalinya dalam tempoh 30 tahun, menteri UMNO mengetuai Kementerian Kerja Raya. Kali terakhir wakil rakyat UMNO mengetuai kementerian itu ialah melalui Allahyarham Datuk Abdul Ghani Gilong pada tahun 1978.

Ahli Parlimen Bera, Datuk Ismail Sabri Yaakob, 48, pula merupakan muka baru yang dilantik terus sebagai menteri penuh iaitu memegang portfolio Belia dan Sukan. Selain beliau, menteri lain yang dilantik terus sebagai menteri penuh ialah Ka Chuan.

Menurut Abdullah, beliau turut melantik bekas Ketua Pegawai Eksekutif Maybank, Datuk Amirsham A. Aziz sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) yang bertanggungjawab dalam hal ehwal Unit Perancang Ekonomi (EPU).

Kata beliau, seorang lagi Senator yang dilantik sebagai Menteri di JPM ialah peguam terkemuka dan bekas Ahli Parlimen Kota Bharu, Datuk Zaid Ibrahim yang akan bertanggungjawab dalam hal ehwal berkaitan perundangan.

‘‘Beliau akan diberi peranan membantu membuat cadangan bagi perubahan dan reformasi sistem kehakiman negara,” katanya.

Kabinet baru itu juga menyaksikan Ketua Penerangan UMNO, Senator Tan Sri Muhammad Muhd. Taib dilantik menjadi menteri selepas 11 tahun meletakkan jawatan sebagai Menteri Besar Selangor. Beliau memegang portfolio Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah.

Bekas Menteri Wilayah Persekutuan pada 1987, Datuk Shahrir Samad juga kembali menganggotai Jemaah Menteri sebagai Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna.

Sementara itu, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop yang menang kerusi Parlimen Tasek Gelugor kekal sebagai Menteri Kewangan Kedua.

Turut mengekalkan jawatan ialah Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein sebagai Menteri Pelajaran.

Naib Presiden UMNO, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang dahulunya Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani bertukar portfolio dengan menerajui MITI menggantikan Rafidah.

Tiga lagi menteri di JPM ialah Tan Sri Bernard Giluk Dompok, Datuk Seri Nazri Abdul Aziz dan Datuk Dr. Ahmad Zahid Hamidi.

Pada sidang akhbar itu, Abdullah turut mengumumkan Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri digabungkan dengan Kementerian Keselamatan Dalam Negeri menjadi Kementerian Dalam Negeri diketuai bekas Menteri Luar, Datuk Seri Syed Hamid Albar.

Selain itu, Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional di JPM diserapkan ke dalam Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan Warisan yang kini dikenali sebagai Kementerian Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan yang diketuai Datuk Mohd. Shafie Apdal, dulunya Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna.

Seperti diuar-uarkan sebelum ini, Kabinet kali ini turut menampilkan lebih ramai wakil dari Sabah dan Sarawak berikutan pencapaian cemerlang calon BN dari kedua-dua negeri itu pada pilihan raya umum 8 Mac lalu.

Sebanyak 11 wakil rakyat Sarawak masing-masing dua sebagai menteri dan sembilan timbalan menteri dilantik menganggotai pentadbiran kerajaan selepas pilihan raya umum 8 Mac lalu.

Antara yang tersenarai ialah anak Ketua Menteri Sarawak yang juga Ahli Parlimen Kota Samarahan, Datuk Seri Sulaiman Abdul Rahman Abdul Taib sebagai Timbalan Menteri Pelancongan.

Wakil rakyat lain ialah Douglas Uggah sebagai Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar dan Datuk Peter Chin Fah Kui sebagai Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi.

Mereka yang dilantik sebagai timbalan menteri pula ialah Datuk Robert Lau Hoi Chew (Perumahan dan Kerajaan Tempatan), Datuk Yong Khoon Seng (Kerja Raya), Jacob Dungau Sagan (MITI), Jelaing anak Mersat (Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna), Datuk Joseph Salang Anak Gandum (Tenaga, Air dan Komunikasi), Datuk Rohani Abdul Karim (Pertanian dan Industri Asas Tani), Fadilah Yusof (Sains, Teknologi dan Inovasi) dan Joseph Entulu Belaun (Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah).

Sementara itu, Sabah diwakili tujuh wakil rakyat masing-masing tiga sebagai menteri dan empat sebagai timbalan menteri.

Mereka ialah Bernard sebagai Menteri di JPM, Shafie (Menteri Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan) dan Datuk Dr. Maximus @ Johnity Ongkili sebagai Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi.

Turut dilantik sebagai timbalan menteri ialah Datuk Liew Vui Keong (MITI), Datuk Abdul Ghapur Salleh (Sumber Asli dan Alam Sekitar), Datuk Anifah Aman (Pengangkutan) dan Tan Sri Joseph Kurup (Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah).

No comments: