29 August 2007

jangan hanya harap bendera percuma


Utusan Malaysia, 28 Ogos 2007

KUALA LUMPUR 27 Ogos – Lebih 12.8 juta pemilik kenderaan di negara ini digesa menunjukkan patriotisme dengan memasang sendiri Jalur Gemilang pada kenderaan masing-masing dan tidak mengharapkan bendera percuma semata-mata.

Menteri Kebudayaan, Kesenian dan Warisan, Datuk Seri Dr. Rais Yatim berkata, harga satu set Jalur Gemilang ialah RM1.80 hingga RM2 sahaja dan semua orang mampu membelinya.

‘‘Ini tanah air kita. Kita hidup di sini dan mati di sini. Membeli sehelai bendera kecil tidak sampai pun RM2, jadi kami (kementerian) berpendapat mari kita uji orang berkenderaan di bandar supaya keluar wang dan beli bendera kecil untuk kenderaan masing-masing.

‘‘Sudah tiba masanya untuk kita berhenti menghulur bendera kecil kepada semua kenderaan di tanah air,’’ katanya ketika menjawab soalan tambahan Datuk Shaari Hassan (BN-Tanah Merah) pada persidangan Dewan Rakyat hari ini.

Shaari membangkitkan kenapa pemasangan bendera pada kenderaan di kawasan bandar kelihatan kurang meriah berbanding di kawasan kampung.

Menjawab soalan tambahan Fong Po Kuan (DAP-Batu Gajah) mengenai isu Wee Meng Chee yang didakwa menghina lagu Negaraku, Rais berkata, hanya mahkamah sahaja berhak menentukan bentuk hukuman yang boleh dikenakan ke atas pelajar itu.

‘‘Kita memberi ruang kepada sistem perundangan tanah air mengambil tindakan terhadapnya,’’ ujarnya.

No comments: